Friday, December 10, 2010

Benarkah pekan semporna kotor dan tidak bersih....

Kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun melabelkan pekan semporna sebagai bandar terkotor di negeri sabah ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri. Sebagai menteri yang bertanggung jawab terhadap sektor pelancongan sabah, beliau seharusnya lebih bertanggung jawab apabila mengeluarkan kenyataan tersebut dan lebih-lebih lagi pulau sipadan yang terkenal dikalangan pelancong luar negara terletak di daerah semporna. Memberikan imej yang buruk terhadap semporna bukan penyelesaiannya.

Persoalannya banyak cara yang beliau boleh gunakan untuk menyampaikan mesej tersebut kepada Majlis Daerah Semporna (MDS), wakil rakyat semporna dan penduduknya, tetapi mengapa beliau memilih membuat kenyataan akhbar. Atau Yang Berhormat tersilap medium perantara dalam menyampaikan "friendly message". Apapun sebagai menteri yang bertanggung jawab banyak pendekatan yang beliau boleh ambil seperti, merangka program - program tentang kesedaran pentingnya kebersihan kepada penduduk semporna, mendidik bagaimana memulihara alam sekitar dan menerangkan bagaimana kebersihan turut membantu dan merangsang sektor pelancongan. Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan malaysia memperuntukkan bajet yang cukup besar untuk modal insan. Malah perdana menteri yang terdahulu hingga sekarang masih terus mengekalkan polisi yang serupa. Kejayaan Wawasan 2020 juga akan diukur dari kejayaan modal insan rakyat malaysia. Perkara ini seakan - akan hampir tidak disedari oleh yang berhormat menteri. Salahkah jika YB gunakan peruntukan yang sedia ada untuk menjayakan kempen dan program - program kebersihan.

Kepada penduduk semporna, marilah kita ambil positif teguran YB menteri. Tanggung jawab kebersihan bukan hanya terletak di bahu Menteri dan Wakil Rakyat, tetapi pada kita semua juga. Imej pekan semporna harus kita pertahankan. Isu kebersihan bukannya isu politik tetapi sahsiah diri dan masyarakat. Ayuh semua rakyat semporna buktikan kita bukan seperti YB Menteri katakan. Harapan kita pula janganlah isu ini dipolitikkan oleh golongan yang ingin meraih kepopularan dan berkepentingan politik.

No comments:

Post a Comment